Pembuka Kata

Assalamualaikum

Semoga diberi kekuatan untuk menyiapkan blog ini agar dapat memberi maanfaat kepada semua terutama untuk orang yang mengalami masalah sama seperti kami.

Sebelum itu, kami ingin beritahu, tujuan blog ini semata-mata untuk berkongsi pengalaman, mungkin kami betul, mungkin juga kami salah kerana kami tidak mendapat sebarang tunjuk ajar dari mana-mana pihak bertauliah secara terus akibat kekangan kewangan. Selain itu, kami tiada tujuan untuk tunjuk pandai terutama dalam bab hukum (sesungguhnya kami jahil akan hukum-hukum syariah, semua yang kami dapat hanyalah dari hasil Google) atau untuk mendapat sebarang publisiti dan bukan juga untuk memburukkan mana-mana pihak. Kami cuba untuk fokus pada prosedur dan akan cuba mengelak dari mengulas kes-kes syariah kami. Oleh yang demikian, harap bersabar dengan cara penulisan kami yang mungkin agak kucar kacir dan meleret.

PENGENALAN RINGKAS


Kami bernikah pada bulan September. Dua minggu kemudian, kami menerima surat saman dari bekas isteri suami. Jumlah kes saman adalah sebanyak 4 saman iaitu:

1) Saman Tunggakan Nafkah
2) Saman Nafkah Eddah
3) Saman Mutaah
4) Saman Nafkah Anak

Kedua-dua belah pihak telah duduk bersama di dalam Majlis Sulh. Malangnya tiada kata sepakat. Oleh itu, kesemua kes saman telah dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Selangor untuk dibicarakan.

Bekas isteri diwakili oleh peguam. Manakala kami, menjadi buntu kerana hasil tinjauan dengan beberapa peguam, kos untuk buka fail bagi satu kes adalah lingkuan RM5,000 ke RM6,000. Jadi untuk 4 kes, jumlah untuk bukak fail sahaja, kami perlukan dalam RM20,000 ke RM30,000. Paling murah kami dapat, peguam kasi cinchai RM17,000 untuk kesemua kes. Ini belum termasuk kos-kos lain seperti kos pengangkutan setiap kali ke Mahkamah, kos "printing' dan lain-lain.

Setelah kami berbincang sesama kami, kami tiada jalan lain selain daripada tidak diwakili oleh mana-mana peguam. Masalahnya cuma, kesemua prosedur di Mahkamah Rendah Syariah Selangor ini memerlukan dokumen bertulis seperti pembelaan bertulis, afidavit bertulis dan sebagainya.

Pada ketika ini dan selepas setahun perbicaraan kes berlangsung, Alhamdulillah, kami sudah selesai menyediakan kesemua dokumen bertulis kepada Mahkamah dan hanya menunggu keputusan sahaja.

Sepanjang proses perbicaraan, kami menghadapi banyak halangan seperti memahami proses, mencari contoh/sample untuk rujukan serta menentukan borang-borang dan format-format yang perlu kami guna. Kami pernah menghubungi peguam untuk berbincang dan mendapat khidmat nasihat (ada sesetengah peguam menyediakan khidmat nasihat secara berdepan/whatsapp/email selama satu jam RM100 contohnya), malangnya, bila nak jumpa.. peguam senyap. Kami juga pernah bertanya pada seorang peguam syariah di FB page, beliau sahaja lah yang respon, tapi oleh kerana kami lebih hands-on dan soalan kami lebih kepada teknikal, agak sukar bagi kami untuk menggunakan medium ini.

Walaubagaimanapun, selain daripada sumber Google dan website Jakess, kami juga menerima pertolongan dari pegawai kaunter Mahkamah Syariah dan dari rakan saya serta peguamnya (rakan saya juga dalam perbicaraan kes syariah bersama bekas suami)

Oleh sebab itu, kami ingin berkongsi apa sahaja yang kami lalui sepanjang setahun ini dan berharap dapat memberi manfaat kepada semua terutama yang senasib dengan kami (tiada wang untuk lantik peguam)

Sekian



No comments:

Post a Comment

Contoh Pembelaan Bertulis Mutaah

Berikut adalah contoh Pembelaan bertulis untuk Mutaah. Maaf kerana terpaksa kongsi dalam format gambar/scan. Word file kami hilang selep...